JDT Bakal Jadi Destinasi Seterusnya Jon Irazabal?
MakanBola
JST/MNT

Pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya, Jon Irazabal dikatakan bakal ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Nama Jon Irazabal semestinya menjadi bualan ramai peminat bola sepak tempatan ketika ini setelah pertahanan tengah ini diperkenalkan selaku pemain warisan baharu skuad Malaysia pada Rabu.

Kehadiran Irazabal ke Malaysia sebelum ini telah pun menjadi topik perbincangan khususnya selepas bek berusia 28 tahun ini memuat naik sekeping foto berada di lapangan terbang di Qatar.

Tangkap layar tersebut telah tular sebelum ini dengan ramai penyokong menjangkakan Irazabal ketika itu sedang dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyertai kem latihan pasukan negara.

Laman Harimau Abroad telah memuat naik tangkap layar itu dan telah diulang siar oleh pemerhati bola sepak Johor, Juan Budiman yang berkata destinasi Irazabal selepas ini adalah ke Iskandar Puteri yang merupakan venue bagi Stadium JDT.

”Destinasi seterusnya (ke) Iskandar Puteri, Johor, Malaysia,” tulis Juan Budiman di laman X.

Menerusi semakan terkini di Transfermarkt, kontrak Irazabal bersama kelab beliau, Sabah FK di Azerbaijan bakal tamat pada 30 Jun 2025 ini meskipun masih belum ada makluman baharu tentang masa depan beliau.

Walau bagaimanapun tiada sebarang pengesahan rasmi dari mana-mana pihak ketika ini dengan JDT baru sahaja umum kehadiran Antonio Glauder selaku rekrut pertama bagi musim 2025-2026.

Irazabal ketika ini sedang fokus bersama pasukan Harimau Malaya menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia pada 10 Jun ini di Bukit Jalil.