JDT Bawa 5 Pemain, Satu Keluar Secara Pinjaman
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membawa masuk lima pemain sambil meminjamkan seorang pemain ke kelab lain.

Skuad kendalian Xisco Munoz dilihat rancak membawa masuk muka-muka baharu bagi menambah kekuatan pasukan terutama bagi aksi AFC Champions League Elite (ACLE) dan juga ACC Shopee Cup 2025-26.  

Johor Southern Tigers telah pun mengumumkan kemasukan tiga pemain import baharu iaitu dua penyerang, Yago Cesar dan bekas bintang J-League, Marcos Guilherme.

Posisi tengah pula menyaksikan tonggak kelahiran Portugal, Nene menjadi pilihan sebagai rekrut terbaru selepas kali terakhir beraksi di China bersama YN Yakun.

JDT juga menambah kekuatan tengah menerusi kudrat pemain tempatan selepas membawa pulang dua pemain, Stuart Wilkin dari Sabah dan juga Syamer Kutty Abba yang dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC. 

Walau bagaimanapun, skuad Harimau Selatan telah meminjamkan penyerang muda, Haqimi Azim Rosli ke Terengganu FC selepas tempoh pinjamannya bersama KL City berakhir.

JDT kekal dengan rekod tanpa kalah bagi saingan Liga Super sementara memberikan saingan positif pada peringkat Asia di ACLE – merekodkan dua kemenangan, dua seri dan dua tewas selepas 6 perlawanan.

Ujian seterusnya buat JDT adalah aksi menentang Sanfrecce Hiroshima pada 10 Februari 2026 jam 6.00 petang.