Stuart Wilkin sah kembali ke pangkuan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Selasa.
Perpindahan pemain berusia 28 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu video di platform Johor Southern Tigers.
“Selepas empat musim pergi, Stuart Wilkin adalah Harimau Selatan 🐅 sekali lagi! Selamat datang ke Rumah Juara!,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Stuart Wilkin telah bersama pasukan Sabah sejak musim 2021/2022 secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum menyertai Sang Badak secara tetap pada musim 2022/2023.
Sepanjang beraksi bersama Sabah, beliau telah mencatat 109 penampilan, selain meledak 17 gol serta menghadiahkan 21 bantuan jaringan.
Perpindahan ini menjadikan beliau pemain tengah kedua menyertai JDT selepas Rui Filipe. Bekas pemain tengah Yunnan Yukun itu menyertai JDT baru-baru ini.