Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu meneruskan rekod baik pasukan itu ke atas kelab-kelab China dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Saingan ACLE musim 2024/25 menyaksikan JDT memiliki rekod baik bila berdepan kelab Chinese Super League (CSL). Harimau Selatan bukan saja berjaya mengikat Shanghai Port 2-2 dalam aksi pertama kejohanan.
Malah, musuh setempat Port, Shanghai Shenhua menjadi mangsa JDT. Ini selepas pasukan itu tewas 3-0 kepada juara Piala FA 2024 itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Oktober lalu.
Meskipun begitu, Bidoglio enggan memandang rendah cabaran Shandong Taishan. Ini kerana Shandong ingin menebus kekecewaan selepas muncul naib juara Chinese FA Cup 2024 baru-baru ini.
Justeru, pengendali Venezuela itu mahu anak buahnya kekal fokus untuk mengekalkan rekod tanpa kalah JDT ke atas kelab-kelab CSL.
“Sebelum ini, kita memulakan kempen ACLE dengan JDT tampil kompetitif. Sekarang, kita makin kompetitif dan kita perlu teruskan (momentum).
“Kita tahu ACLE satu kejohanan yang sukar tetapi JDT sudah bersedia untuk bermain. Perlawanan esok merupakan perlawanan yang penting bagi kita dan kita perlu terus fokus dengan diri kita sendiri dan terus maju,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Aksi ini menyaksikan JDT berentap dengan Shandong buat kali pertama sejak kempen peringkat kumpulan ACL 2019. Edisi tersebut menyaksikan Harimau Selatan tumpas dua kali kepada Taishan Dui.
Bidoglio mengakui pasukan yang dibimbing Choi Kang-hee itu satu pasukan yang bagus. Pada masa sama, beliau percaya JDT mampu mengulangi prestasi cemerlang semasa berada di China.
“Kita tahu cuaca di sini berbeza (daripada cuaca di Malaysia). Tapi kita perlu menentang pihak lawan yang beraksi di sini dalam cuaca yang sama.
“Pada pendapat saya, mereka (Shandong Taishan) memiliki skuad yang bagus, pemain-pemain yang bagus.
“Tapi bagi saya, perkara paling penting sepanjang masa ialah kita perlu fokus terhadap diri sendiri. Kita memiliki pemain-pemain yang bagus dan saya gembira dengan pemain-pemain saya,” ujarnya.
JDT membawa momentum kemenangan selepas menewaskan KL Rovers FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25.
Harimau Selatan bakal berentap dengan Taishan Dui di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan, Jinan pada 26 November ini.