Juara bertahan Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) berisiko untuk kehilangan khidmat Bergson dan juga Arif Aiman dalam tempoh sama.
Skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi garang selepas berjaya menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 3-1.
Kejayaan itu bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas penyerang berbisa pasukan, Bergson Da Silva difahamkan mengalami kecederaan.
Kejadian yang berlaku pada babak kedua itu menyaksikan beliau mengerang kesakitan sebelum diberi rawatan oleh pasukan perubatan JDT.
Pemain berusia 33 tahun itu meneruskan aksi dengan tangan berbalut sebelum beliau memuat naik satu hantaran selepas mendapatkan rawatan terhadap tangannya.
“Mulakan aksi di laman sendiri dengan 3 mata. Terima kasih atas sokongan semua, kami akan terus bertambah baik, musim panjang di hadapan,” ujar Bergson di laman Instagram.
Beliau bagaimanapun diberikan kepercayaan untuk beraksi selama 90 minit di laman sendiri sungguhpun baru pulih daripada kecederaan.
Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio turut memaklumkan bahawa pemain sayap JDT, Arif Aiman mn Hanapi mengalami kecederaan dan tidak mahu merisikokan pemain tersebut.
Sungguhpun kecederaan tersebut tidak serius, JDT tetap mengambil pendekatan untuk berjaga-jaga selain membuktikan bahawa permainan berpasukan wakil Malaysia di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tidak terjejas oleh kehilangan individu.
JDT bakal bertandang ke KL City bagi aksi ketiga musim 2024/25 pada 25 Mei 2024 jam 5:30 petang.