Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan 4 rekod baharu Liga Super Malaysia menjelang detik akhir sebelum dinobatkan selaku juara sedekad di Malaysia.
Pasukan bimbingan Tano Solari kini dalam fasa akhir sebelum menjulang trofi kejuaraan liga kali ke-10 berturut-turut sungguhpun diikat buat kali pertama musim ini berdepan Kedah Darul Aman tempoh hari.
Harimau Selatan mencatat rekod yang cukup menakjubkan musim ini apabila tidak tewas sebarang perlawanan musim 2023.
Keputusan 3-3 itu menyaksikan JDT melebarkan beberapa rekod besar yang telah pun dicatatkan sejak musim lalu.
Berdasarkan perkembangan yang dikongsikan oleh Johor Southern Tigers, JDT kini melebarkan rekod tanpa kalah dalam liga kepada 55 perlawanan.
JDT juga kini mencatatkan jaringan paling tinggi dalam satu musim iaitu 82 gol berbanding hanya 61 gol musim lalu.
Keputusan seri 3-3 berdepan anak didik Nafuzi Zain menyaksikan pasukan milik DYAM TMJ masih tidak mampu ditewaskan di tempat lawan dalam 59 perlawanan selain mencatatkan rekod 10 kemenangan di tempat lawan musim ini.
Ini turut membawa kepada pungutan mata tertinggi di tempat lawan yang direkodkan oleh wakil tunggal Malaysia di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) kali ke-5 ini sebanyak 31 mata.
JDT bakal meneruskan cabaran bagi aksi suku akhir Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan FC pada 15 September di Stadium Paroi.
Ujian sebenar Harimau Selatan bakal bermula pada 19 September apabila perjalanan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) bakal bermula dengan melayan kunjungan pasukan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim.