JDT Juarai Piala Sumbangsih, Tewaskan Kuching City
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengecapi trofi sulung mereka untuk musim 2026/27 apabila menewaskan Kuching City FC dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Perlawanan ini cukup penting buat Harimau Selatan. Selain berpeluang meraih trofi pertama musim ini, ini juga peluang buat anak buah Xisco Munoz melakar rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah terpanjang dengan 109 perlawanan.

Empat pemain JDT iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo, Brad Tapp dan Shane Lowry tersenarai dalam kesebelasan utama sebagai pemain tempatan. Bekas bek tengah Sabah FC, Gabriel Peres mengetuai benteng Kuching City bersama kapten, James Okwuosa.

Separuh masa pertama menyaksikan jentera serangan The Cats terdiri daripada Ronald Ngah Wanja, Gabriel Nistelrooy dan Aliff Hassan dilihat bergelut menembusi benteng JDT diketuai Kevin Medina.

Setiap serangan yang cuba direncana jentera serangan pelawat segera dipatahkan sama ada oleh Medina atau rakan sepasukan, Antonio Glauder.

Sebaliknya, jentera serangan JDT diketuai Bergson, Nahuel Leiva, Marcos Guilherme dan kapten, Arif Aiman Hanapi kerap mencemaskan benteng The Cats.

Hasilnya, Guilherme membuka tirai jaringan pada minit ke-11. Selepas bertukar hantaran dengan Bergson, bekas pemain sayap V. Varen Nagasaki itu melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.

Tersentak, Kuching City cuba bangkit memburu jaringan penyamaan. Malangnya, jentera serangan pelawat terus buntu mencari peluang menjaringkan gol.

Situasi ini memastikan JDT mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan pemain sayap kebangsaan, Ramadhan Saifullah Usman, Nur Shamie Iszuan Amin dan arkitek Jordan, Ahmed Israiwah.

Kemasukan trio tersebut menambah kreativiti Kuching City di bahagian serangan. Ramadhan hampir mencipta impak segera menerusi tandukan lambung pada minit ke-51 tetapi ditepis penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed.

Tatkala Kuching City menyerang, JDT menggandakan kelebihan mereka empat minit kemudian. Oscar Arribas memanfaatkan ruang yang diberi pertahanan pelawat sebelum melepaskan rembatan deras yang menewaskan Haziq.

Shahab Zahedi melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol ketiga pada minit ke-86. Meskipun dinafikan Haziq pada awalnya, cubaan susulan penyerang Iran itu memastikan tuan rumah meraih kemenangan 3-0.

Keputusan ini bukan saja menyaksikan JDT muncul juara Piala Sumbangsih. Malah, JDT juga secara rasmi memintas rekod ASEC Mimosas sebagai pasukan yang memiliki siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia dengan 109 perlawanan.

Selepas ini, JDT akan melayan kunjungan pendatang baharu liga, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada 26 Ogos. Kuching City pula akan bertandang ke Cheras untuk menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada hari yang sama.