Pengendali skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) Juan Antonio Miguel Garcia tidak mahu anak-anak buahnya mendabik dada meskipun memiliki jurang mata yang jauh berbanding seteru utama mereka.
Miguel Garcia yang ditemui selepas aksi MPFL berdepan KL City pada Ahad berkata perjalanan liga masih lagi panjang dan beliau mahukan anak-anak buahnya untuk kekal fokus dan hormati lawan.
”Dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tetap hormati semua lawan kerana ada tujuh bulan lagi untuk bermain dan banyak lagi mata perlu dikutip,” katanya kepada Astro Arena.
Tambahnya lagi, impian skuad Harimau Selatan adalah untuk menjadi juara pada musim ini dan beliau yakin dengan semangat berpasukan serta sikap merendah diri, hasrat tersebut akan tercapai.
”Kita akan kekal sebagai satu pasukan, hormati lawan dan semtiasa merendah diri tetapi objektif kita tetap sama iaitu menjadi juara (MPFL),” ujar jurulatih kelahiran Sepanyol ini lagi.
Pada aksi yang berlangsung di Ortuseight Arena, Kuala Lumpur itu, KL City terlebih dahulu di hadapan hasil gol Syed Khidir Shaab pada minit ke-15 sebelum import JDT, Caio Cesar menyamakan kedudukan seminit sebelum babak pertama berakhir.
Tiga gol di separuh masa kedua daripada Azri Rahman, Caio Cesar dan Abu Haniffa memastikan skuad Harimau Selatan pulang ke Johor dengan tiga mata berharga untuk mengekalkan kemenangan bersih dalam liga.
JDT kini selesa mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan 21 mata setelah meraih mata maksimum daripada tujuh perlawanan manakala KL City terus terperosok di dasar liga tanpa sebarang mata.
Pencabar terdekat JDT yang juga juara musim lalu, Pahang Rangers pula kini berada di tangga kedua dengan 16 mata setelah tewas kepada skuad Harimau Selatan minggu lalu di Pasir Gudang.