Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjanjikan tentangan hebat kepada Kelantan bersesuaian dengan status mereka sebagai pasukan terbaik di Malaysia dan Asia. Tetapi bagi jurulatih The Red Warriors, Choi Moon-sik, itu merupakan satu cabaran kepada anak-anak buahnya.
Di sebalik cabaran yang dibawa pemain-pemain berstatus bintang seperti Arif Aiman Hanapi, Jordi Amat dan Syihan Hazmi Mohamed, Moon-sik berharap anak-anak buahnya tidak gentar dan berusaha menyaingi JDT sepanjang 90 minit perlawanan esok.
“JDT merupakan pasukan terbaik di Malaysia. Dan pemain-pemain mereka terdiri daripada pemain-pemain terbaik.
“Perlawanan ini amat sukar tetapi kita akan turun bermain, berusaha menyaingi mereka dan membuat persiapan terbaik untuk perlawanan ini.,” katanya semasa ditemubual Zulhelmi Zainal Azam untuk Astro Arena.
Cabaran Kelantan juga tampak sukar tanpa dua tonggak, Christian Rontini dan Carli de Murga. Rontini ketika ini sedang menjalani penggantungan selepas dibuang padang pada perlawanan menentang Penang pada minggu lepas.
Sementara bek tengah Filipina, de Murga pula terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan. Tetapi bagi Moon-sik, mana-mana pemain yang dipilih mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.
“Seperti yang anda tahu, Rontini mengutip dua kad kuning (menjalani penggantungan perlawanan). Kita ada pemain lain yang boleh mengisi posisinya. Carli De Murga pula mengalami kecederaan tetapi kita mempunyai pemain-pemain lain sebagai pengganti.
“”Saya cuba untuk fokus kepada perlawanan yang kita akan main. Kita tahu JDT merupakan pasukan terbaik di Malaysia, terbaik di Asia. Tetapi kita akan cuba bermain lebih baik,” tambahnya.