Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah sengat di jentera serangan dengan merekrut Ajdin Mujagic dari Sabah FC.
Pengumuman ini dibuat oleh pihak pengurusan JDT dalam satu hantaran di media sosial yang memperkenalkan Ajdin Mujagic sebagai tonggak baharu skuad Harimau Selatan itu.
Di dalam video pengenalan tersebut, Ajdin Mujagic tiba di Stadium Sultan Ibrahim segak bersut sebelum menyarung jersi kebanggaan Merah Biru dengan nombor 29 yang akan digunakan.
“Selamat datang ke rumah Sang Juara,” umum Johor Southern Tigers merujuk kepada ketibaan Ajdin Mujagic.
Untuk rekod, Ajdin Mujagic sertai Sabah pada awal musim ini dan berhasil menjaringkan 18 gol selain dua bantuan jaringan dalam 22 penampilan sebelum memperkuat JDT di jendela perpindahan ini.
Ajdin Mujagic menjadi pemain ke-6 yang memperkuat JDT pada jendela kali ini selepas ketibaan Yago Da Silva, Nene, Marcos Guilherme, Stuart Wilkin selain kembalinya Syamer Kutty.