Pemain tengah kebangsaan, Afiq Fazail terus kekal bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk tempoh sekurang-kurangnya dua musim lagi.
Ini selepas pengurusan JDT mengumumkan kelab itu melanjutkan kontrak pemain tengah berusia 31 tahun itu. Afiq memeterai kontrak baru sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Selatan, Luis Garcia.
“Pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail telah melanjutkan kontrak untuk dua musim lagi. Beliau muncul pemain paling banyak melakukan penampilan bersama Harimau Selatan sejak debutnya pada Januari 2017,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sejak membuat penampilan pertama pada Januari 2017, Afiq sudah merekodkan 272 penampilan. Ini sekaligus menyaksikan beliau mengatasi rekod 270 penampilan yang dilakar bekas jeneral tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim.
Rekod itu dilakar ketika beraksi dalam final Piala Malaysia menentang Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.
Afiq juga mencipta sejarah menjadi pemain JDT pertama muncul dalam tujuh perlawanan akhir Piala Malaysia sejak 2017.
Tindakan JDT memperbaharui kontrak pemain tengah itu memperlihatkan usaha pasukan untuk mengekalkan pemain terbaik mereka agar dapat kekal cemerlang untuk tahun-tahun mendatang.