JDT Sedia Kolaborasi Dengan Persib Bandung
MakanBola
JST/PBFC

Kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia mengatur sebuah kolaborasi bersama Persib Bandung dari Indonesia.

Pada Ahad, Persib Bandung telah mengadakan sebuah pesta keraian bagi meraikan kejayaan besar menjuarai saingan Liga 1 Indonesia dan berlangsung meriah dengan dihadiri peminat setia pasukan.

Kejayaan skuad bimbingan Bojan Hodak ini muncul juara buat kali kedua berturut-turut ini telah mendapat perhatian Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Baginda dalam satu hantaran di laman X memuji pencapaian hebat yang diraih oleh Persib Bandung serta Presiden Kelab, Glen Timothy Sugita di atas kejayaan dan semangat peminat yang menakjubkan.

”Ini adalah semangat yang sebenar, Persib Bandung. Tahniah Tuan Glen (Timothy Sugita),” tulis Tunku Ismail di laman X.

Hantaran daripada Baginda itu telah mendapat respon dari pihak Persib Bandung yang berbesar hati menerima pujian tersebut dan membuka cadangan untuk kolaborasi bersama JDT.

“Terima kasih Tunku, kami amat berbesar hati dan secara peribadi daripada Pak Glenn. Tahniah atas kejayaan JDT merangkul 11 kejuaraan berturut-turut yang menakjubkan.”

“Bagaimana pula dengan sedikit kolaborasi pemain antara Persib dan JDT?” cadang pihak kelab Indonesia itu.

Pertanyaan tersebut telah mendapat jawapan balas daripada Tunku Ismail yang kelihatan terbuka serta bersedia mengatur sebuah kolaborasi bersama antara JDT dan Persib Bandung.

”Tahniah dan terima kasih Pak Glenn. Boleh diatur. Kolaborasi JDT dan Persib,” balas Baginda dalam satu hantaran terbaru.

Sekiranya perkara ini menjadi realiti, Persib Bandung bakal menjadi rakan kolaborasi JDT terbaharu selepas kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) yang sudah menjalin kerjasama sebelum ini.