Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap yakin anak buahnya mampu meraih keputusan positif dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Cup.
Keyakinan itu dizahirkan bekas pengendali Watford itu apabila ditanya tentang rekod perlawanan lalu antara Buriram United dan JDT.
Rekod semasa menyaksikan Buriram masih belum tewas di tangan Harimau Selatan dalam lima aksi terakhir mereka. Ini termasuk kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama pada 6 Mei lalu.
Munoz memaklumkan beliau tidak ambil peduli tentang rekod perlawanan lalu yang dimiliki Thunder Castle. Ini kerana pada hematnya, apa yang lebih penting ialah JDT tampil lebih baik dalam aksi separuh akhir kedua menentang anak buah Mark Jackson itu.
“Saya tak fikir tentang itu (rekod perlawanan lalu Buriram United dan JDT). Perkara positifnya ialah kita fokus kepada apa yang kita lakukan.
“Kali terakhir kita melakukannya, kita bergelar juara (Liga Super) kerana mentaliti yang kita tunjukkan. Dan dalam perlawanan esok, kita perlu jadi lebih baik,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Bangkok, Thailand.
Munoz turut menggesa anak buahnya kekal yakin dan bermotivasi untuk meraih keputusan positif di Stadium Buriram.
“Kita perlu kekal bermotivasi dan yakin, kita kena tingkatkan kapasiti, kemahuan dan cita-cita untuk bermain secara menyerang, tiba pada masa yang tepat dan percaya sehingga saat itu.
“Itu salah satu perkara yang kita usahakan di mana kita kekal yakin, sentiasa cuba berikan yang terbaik dan tidak fikir tentang (kelebihan) psikologi (lawan).
“Saya tak fikir tentang perkara lalu, sudah tentu kita akan cuba menikmati perlawanan ini kerana itu perkara yang paling penting,” tambahnya.
JDT berharap dapat mengatasi kelebihan agregat 3-1 yang dimiliki Buriram dalam aksi separuh akhir kedua pada 13 Mei ini.