JDT Tak Hirau Rekod Lama, Fokus Tumbangkan Buriram
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak goyah bertemu jaguh Thailand, Buriram United meskipun rekod pertemuan memihak kepada pasukan tersebut.

JDT yang bakal menerima kunjungan pasukan julukan Thunder Castle itu pada Rabu menyifatkan rekod pertemuan hanyalah sebagai rekod dan ia tidak mempengaruhi bagi aksi esok.

Harimau Selatan dan Buriram United telah bertemu sebanyak empat kali sebelum ini, dengan Thunder Castle mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri.

Berdasarkan rekod perlawanan, aksi esok dilihat memihak kepada pasukan pelawat. Namun begitu, kehadiran pemain ke-12 di Stadium Sultan Ibrahim pastinya akan menambah tekanan dan menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pemain Buriram United.

Kali terakhir JDT dan Buriram United bertemu adalah pada aksi pertama saingan ACLE 2025/26 yang menyaksikan Harimau Selatan tewas 2-1 kepada tuan rumah, Thunder Castle.

Menurut Matthew Davies, JDT tidak melihat rekod pertemuan sebelum ini sebagai ancaman dan rakan sepasukan sentiasa menghormati setiap kelab yang dihadapi.

“Kami tahu rekod sebelum ini, tetapi kami mahu ubah keputusan tersebut dan mendapatkan hasil yang baik.”

“Bagi pemain, keputusan lalu tidak mencerminkan prestasi semasa. Kami hormati lawan, tetapi tidak takut. Bermain di hadapan penyokong sendiri dengan keyakinan yang ada, kami percaya mampu menewaskan sesiapa sahaja,” kata beliau ketika sesi sidang media sebelum perlawanan pada Selasa.

Perlawanan JDT vs Buriram United akan berlangsung pada Rabu di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 8.00 malam waktu Malaysia.