Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengubah tugas pertahanan kental, Shahrul Saad.
Pemain berusia 31 tahun itu terus mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.
Peranan yang dimainkan oleh bekas pemain Perak FC ini bagaimanapun kelihatan sedikit berubah berbanding tugas yang digalas sebelum ini.
Beliau dikesan lebih kerap beraksi pada posisi pertahanan kanan dan melakukan penggiliran bersama Matthew Davies.
Shahrul Saad beberapa kali masuk sebagai pemain gantian dan ditukarkan dengan Matt Davies sejak beberapa perlawanan terakhir dan turun dalam kesebelasan utama menentang Kedah pada posisi pertahanan kanan.
Walau bagaimanapun, tonggak utama Harimau Malaya ini juga masih diberi peranan sebagai pertahanan tengah dalam beberapa perlawanan seperti menentang Kelantan DN, KL City dan juga Malaysian University.
Kebolehannya beraksi pada beberapa posisi pertahanan memberi pilihan tambahan kepada ketua jurulatih, Hector Bidoglio untuk membentuk kesebelasan terbaik.
Skuad Harimau Selatan ketika ini merekodkan kemenangan bersih dalam semua aksi yang diharungi termasuklah ketika menentang Terengganu tempoh hari.
PDRM bakal menjadi ujian seterusnya dalam saingan Liga Super pada 30 Julai 2024.