Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran penyerang import baharu, Jairo Da Silva dari Brazil.
Perpindahan ini diumumkan menerusi satu hantaran di media sosial Johor Southern Tigers yang menyaksikan kelibat Jairo Da Silva diperkenalkan secara rasmi sambil menyarung jersi JDT.
Jairo yang berusia 33 tahun itu diumumkan sebagai pemain import baharu di bahagian serangan JDT untuk musim akan datang dan dilihat mengenakan jersi bernombor 11 di dalam video berkenaan.
”Selamat datang ke laman Harimau Selatan, Jairo Da Silva!,” umum JDT dalam sebuah hantaran pada Ahad.
Untuk rekod, Jairo menjaringkan 10 gol dan juga melakukan 5 bantuan jaringan untuk membantu Pafos FC muncul juara Liga Cyprus buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.
Selain Pafos FC, Jairo Da Silva juga pernah beraksi bersama untuk kelab-kelab terkemuka di Eropah dan Amerika Selatan seperti PAOK Salonika (Greece), Hadjuk Split (Croatia) serta Botafogo (Brazil).
Kehadiran Jairo ini menyaksikan JDT sudah mengumumkan dua pemain import baharu menjelang musim Liga Malaysia akan datang selepas ketibaan bek tengah, Antonio Glauder.