Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan reputasi sebagai pengeluar bakat muda terbaik di Malaysia sekaligus membantu skuad negara memperagakan aksi cemerlang di pentas Kelayakan Piala Dunia.
Skuad Harimau Selatan menjadi kelab Malaysia paling berjaya dekad ini dengan pelbagai pencapaian bertaraf elit yang dikecapi sama ada dalam mahupun luar padang hasil usaha DYAM TMJ sejak sedekad lalu.
JDT juga menjadi pilihan utama oleh barisan kejurulatih Harimau Malaya untuk mempertaruhkan barisan terbaik bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 sebelum ke Piala Asia di Qatar 2024.
11 orang pemain JDT menjadi pilihan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang menyaksikan Malaysia merakamkan dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan juga Taiwan untuk mengemudi carta Kumpulan D dengan 6 mata.
Kehandalan JDT untuk terus menyediakan barisan terbaik buat Malaysia meraih perhatian bekas pemain kebangsaan, S. Subramaniam yang kagum dengan kualiti akademi dan projek pembangunan di JDT.
Keadaan ini dibuktikan apabila pemain sayap JDT dan Malaysia, Arif Aiman Hanapi menjadi sandaran utama pasukan termasuklah ketika terlibat dalam 4 gol yang dijaringkan oleh skuad kebangsaan bertemu Kyrgyzstan di Bukit Jalil.
“Arif Aiman pemain yang sangat menakjubkan. Beliau seorang pemain yang versatil, boleh mengadaptasi taktikal dengan baik. Arif merupakan pemain yang cepat matang kerana sudah beraksi dalam skuad JDT pada usia 18 tahun.”
“Arif juga boleh bermain pada beberapa posisi sama ada di kelab mahupun pasukan kebangsaan. Ini kerana beliau seorang pemain yang matang, tahap pemahaman terhadap percaturan jurulatih juga tinggi. Malaysia jarang memiliki pemain muda yang boleh beradaptasi dengan taktikal jurulatih secara cepat.”
Subramaniam juga mahu kredit diberikan kepada JDT yang berupaya untuk mencungkil kualiti terhebat Arif Aiman sekaligus menguntungkan kelab dan juga Malaysia.
“Kita harus beri pujian kepada pemain dan pasukan JDT. Arif telah diberikan didikan yang baik dari peringkat akar umbi di JDT. Ini adalah contoh yang terbaik buat Malaysia dan saya sebagai seorang jurulatih memberitahu bahawa Arif Aiman adalah contoh terbaik yang ada di Malaysia,” jelasnya kepada Astro Arena.
Arif Aiman beraksi dalam kesebelasan utama dalam dua aksi terbaru ketika membantu Malaysia mencatat dua kemenangan dengan impak luar biasanya telah memberikan motivasi terbaik buat pasukan.
Beliau bakal kembali menjalani tugas bersama kelab dan JDT bakal melayan kunjungan Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim pada 23 November 2023 jam 9 malam.