Advertisement
JDT vs Buriram United, Siapakah Pemenangnya?
ACL
MakanBola
JST/BU

Selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bakal berdepan kelab gergasi Thailand, Buriram United.

Aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 3 Disember ini. Ini kali pertama dua kelab ini berentap di pentas Asia.

Thunder Castle yang dibimbing Osmar Loss Vieira turun tanpa khidmat pemain pertahanan Thailand, Sasalak Haiprakhorn. Bek kiri berusia 28 tahun itu terpaksa disisihkan kerana masih menjalani penggantungan di peringkat Asia.

Ini selepas Sasalak dilayangkan kad merah oleh pengadil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ali Saeed Al Naqbi dalam aksi ACLE menentang Yokohama F. Marinos.

JDT pula dilihat bakal menurunkan barisan terkuat termasuk trio serangan berbisa mereka iaitu Arif Aiman Hanapi, Juan Muniz dan Bergson da Silva.

Prestasi semasa dilihat memberi kelebihan kepada Harimau Selatan. Ini kerana JDT meraih empat kemenangan dan tewas sekali dalam lima aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan.

Satu-satunya kekalahan yang dirasai Harimau Selatan ialah aksi ACLE menentang Shandong Taishan pada 26 November lalu.

Buriram pula menunjukkan prestasi kurang seimbang dengan meraih dua kemenangan, dua kekalahan dan satu keputusan seri. Dua kekalahan itu direkodkan di pentas ACLE di tangan Yokohama dan Kawasaki Frontale.

Meskipun ini kali pertama Harimau Selatan dan Thunder Castle bertemu, juara Liga Super 10 kali itu memiliki rekod baik dengan kelab-kelab Thailand di pentas Asia.

Tiga kelab yang menjadi mangsa JDT ialah BG Pathum United, Ratchaburi dan Bangkok United. BG Pathum tewas dua kali di tangan Harimau Selatan dalam saingan peringkat kumpulan ACL 2023/24.

Satu-satunya pasukan Thailand yang berjaya menewaskan JDT ialah Muangthong United. Pencapaian itu dilakar dua kali pada 2016 dan 2018.

Pencapaian The Kirins itu dijangka menjadi inspirasi buat Vieira dan Buriram untuk memadamkan rekod kebal ACLE JDT di SSI. JDT masih belum tewas di SSI sejak 19 September 2023.

Tarikh tersebut menyaksikan Kawasaki menewaskan Harimau Selatan dalam aksi pertama kumpulan ACL 2023 di SSI. Marcinho muncul wira buat pelawat dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir separuh masa pertama.

Aksi ACLE membabitkan JDT dan Buriram merupakan aksi terakhir Liga Timur ACLE untuk tahun 2024. Dua perlawanan terakhir liga bakal dilangsungkan pada 11 dan 18 Februari 2025.