Kemenangan Selangor FC ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) jadi tumpuan peminat bola sepak.
Selangor meraih kemenangan 2-1 menerusi jaringan kapten, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Olwan manakala Kwon Chang-hoon menjaringkan gol saguhati buat Jeonbuk.
Kemenangan ini menjadi bualan apabila Jeonbuk dikatakan menghantar pasukan kedua mereka sebagai lawan Merah Kuning dalam Kumpulan H.
Perkara ini disahkan hasil semakan data pemain-pemain Jeonbuk yang diturunkan dalam perlawanan tersebut di Transfermarkt. Daripada barisan pemain yang diturunkan Kim Do-heon, hanya lima pemain yang merekodkan penampilan dua angka dalam saingan K-League 1.
Mereka ialah Koo Ja-ryong, Jeong Woo-jae, Lee Soo-bin, Lee Jae-ik dan Park Jae-yong. Ja-ryong, Woo-jae, Soo-bin dan Jae-yong masing-masing merekodkan 13, 11, 23, 17 dan 11 penampilan dalam K-League 1 musim 2024.
Sementara itu, barisan pemain seperti Kim Jeong-hoon, Choi Chul-soon, Chang-hoon, Yu Je-ho dan Kim Ha-jun masing-masing merekodkan penampilan satu digit dalam saingan K-League 1.
Ha-jun dan Je-ho turut merekodkan 11 dan 17 penampilan dalam K-League 2 untuk kelab FC Anyang dan Suwon Samsung Bluewings sebelum menyertai Jeonbuk pada musim panas 2024.
Sementara itu, terdapat lima lagi pemain yang dipilih Do-heon untuk aksi Selangor-Jeonbuk berusia bawah 21 tahun iaitu Park Chae-joon, Jin Tae-ho, Ha Seok-jin, Seo Jeong-hyeok dan Jang Nam-ung.
Kelima-lima pemain ini kerap diturunkan dalam saingan K-League 4 untuk pasukan simpanan Jeonbuk.
Nam-ung, Tae-ho, Chae-joon, Seok-jin dan Jeong-hyeok masing-masing merekodkan 23, 11, 17, sembilan dan 13 penampilan untuk pasukan itu musim ini.
Selain itu, hanya empat pemain yang memiliki pengalaman luas beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan ACL2. Mereka ialah Kim Jeong-hoo, Soo-bin, Woo-jae dan Ja-ryong.
Ini turut diperkukuhkan dengan ketiadaan tonggak import Jeonbuk yang mewarnai saingan K-League 1. Antara tonggak import mereka ialah Nana Boateng, Andrigo, Hernandes dan Tiago Orobo.
Ini membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya apa percaturan yang dilakar Do-heon apabila kedua-dua pasukan kembali bersemuka di Jeonju pada 7 November ini.