Pengendali Jeonbuk Hyundai, Kim Do-heon menganggap kemenangan ke atas Selangor FC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) seharusnya lebih baik jika berakhir dengan jaringan yang banyak.
Ini kerana, Jeonbuk hanya memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain import dari Brazil, Tiago Orobo menerusi tandukan yang menewaskan Azim Al-Amin.
Do-heon bagaimanapun biarpun hanya satu gol berjaya dihasilkan namun beliau melihat kemenangan adalah lebih penting berbanding meledak lebih banyak gol.
“Dari segi corak permainan, perlawanan ini (bertemu Selangor) jika berakhir dengan banyak gol adalah lebih baik. Kami bersedia untuk corak permainan sedemikian namun sedang membinanya sedikit demi sedikit.
“Dalam pada itu, perkara yang paling penting ialah menang. Kemenangan harus diutamakan. Kami juga perlu untuk memberi kegembiraan kepada peminat dengan menjaringkan banyak gol. Sebagai jurulatih, saya bekerja keras dengan pemain untuk mencapai hasrat ini.
“Ini mendorong kami untuk berkembang lebih baik. Pada perlawanan yang seterusnya, saya rasa kita perlu membuat persediaan yang lebih baik,” jelas Do-heon kepada Sports Chosun.
Kemenangan tipis 1-0 itu menjadikan Jeonbuk kini unggul di puncak carta Kumpulan H ACL2 dengan mengumpul 9 mata selepas 4 perlawanan. Selangor berada di kedudukan kedua dengan 7 mata.
Untuk aksi berikutnya, Jeonbuk bakal bertemu pasukan tercorot Kumpulan H iaitu DH Cebu pada 28 November manakala Selangor pula akan melayan kunjungan kelab Thailand, Muangthong United pada tarikh yang sama.