Pelawak terkenal tanah air, Jep Sepahtu, mencuri perhatian ramai apabila menghantar kiriman mesej secara terus kepada kapten Portugal, Cristiano Ronaldo sempena saingan Piala Dunia 2026.
Demam Piala Dunia 2026 mula melanda peminat bola sepak di Malaysia sejak minggu ini apabila kejohanan berprestij itu membuka tirainya awal pagi Jumaat, membabitkan dua aksi pembukaan kumpulan A yang penuh dramatik.
Kemeriahan kejohanan tersebut turut dirasai oleh para selebriti tempatan, termasuk Jep Sepahtu, yang tampil mencuri tumpuan apabila menitipkan pesanan khas buat kapten Portugal itu menerusi kiriman mesej di media sosial.
Menerusi suatu hantaran di Instagram, Jep Sepahtu menyampaikan mesej yang berbentuk nasihat dan pandangan terhadap prestasi terkini Cristiano Ronaldo, sambil menekankan peranan penting penyerang veteran itu dalam misi Portugal di pentas dunia.
Antara inti pati mesej tersebut ialah pandangan bahawa Ronaldo kini bukan lagi berada pada tahap kelajuan dan kawalan bola seperti dahulu, namun masih mampu memberi impak besar jika menggunakan kekuatan sedia ada dengan lebih efektif.
“Anda perlu tahu Ronaldo, bahawa anda bukan lagi pemain yang sama seperti dahulu. Perbezaan dari segi kelajuan dan juga dribbling anda kini sangat ketara.”
“Untuk Piala Dunia 2026, saya berharap anda akan lebih fokus kepada percubaan ke arah gol dan tandukan harus kekal sebagai senjata utama anda.”
“Teruskan dua perkara itu sahaja, Ronaldo.”
“Saya tahu anda sedang sibuk sekarang, jadi tidak perlu membalas mesej ini.”
“Balas sahaja selepas anda memenangi trofi itu nanti.”
Mesej bersahaja itu diakhiri dengan ucapan selamat maju jaya buat bintang Al-Nassr itu, dengan harapan Portugal akan muncul juara Piala Dunia 2026 buat pertama kali, seperti yang diimpikan beliau sebagai peminat Cristiano Ronaldo.
Cristiano Ronaldo dan Portugal dijadualkan membuka kempen Piala Dunia 2026 bertemu DR Congo pada awal pagi Khamis, 18 Jun ini dalam aksi pertama kumpulan K sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia dalam perlawanan seterusnya