Jersi ketiga KL City FC yang diperkenalkan baru-baru ini telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong.
Jersi ketiga berwarna merah keluaran Hundred itu diperkenalkan dalam satu video kolaborasi membabitkan syarikat itu, KL City dan Peak KL baru-baru ini.
Kolaborasi tiga entiti itu turut memperkenalkan kit latihan, kemeja-T, topi dan seluar trek rasmi The City Boys. Kesemua koleksi pakaian ini dilancarkan pada 8 Februari ini.
Susulan itu, ramai penyokong sanggup beratur panjang di kedai pakaian rasmi KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Ada juga yang dilaporkan menunggu dari malam 7 Februari.
Perkara ini dikongsikan pemerhati bola sepak Kuala Lumpur, Nizam Archibald semasa berada di stadium itu.
“Lama tak tengok suasana (orang) beratur untuk bola sepak ini. Dan kali pertama orang beratur nak beli jersi KL. Yang paling awal sudah ada sejak 8 malam semalam,” katanya di X.
Ini menunjukkan sokongan penyokong terhadap The City Boys cukup padu terutama dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim 2024/25.
Selepas ini, KL City bakal berdepan Terengganu FC pada 14 Februari di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.