KL City FC terus menyemarakkan keghairahan penyokong dengan memperkenalkan jersi ketiga bertemakan retro.
Jersi ketiga berwarna merah keluaran Hundred itu diperkenalkan dalam satu video kolaborasi membabitkan syarikat itu, KL City dan Peak KL baru-baru ini.
Kolaborasi tiga entiti itu turut memperkenalkan kit latihan, kemeja-T, topi dan seluar trek rasmi The City Boys.
Pemerhati bola sepak Kuala Lumpur, Nizam Archibald memaklumkan warna jersi ketiga KL City diinspirasikan daripada jersi pasukan itu untuk musim 1994.
Tahun tersebut dianggap tahun istimewa buat The City Boys kerana pasukan itu meraih gelaran juara Piala FA. Antara pemain yang membarisi pasukan ketika itu ialah Azmin Azram Abdul Aziz, L. Suresh dan Shahrin Majid.
Corak yang terserlah pada jersi berkenaan diinspirasikan daripada garisan peta yang membentuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perkataan P pada bahagian bahu pula merujuk kepada Peak KL.
Jersi ini dianggap istimewa kerana ia dihasilkan bersempena ulang tahun ke-50 Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan.
Sebaik video pelancaran jersi diperkenalkan, ramai penyokong sudah tidak sabar untuk mendapatkan jersi ketiga KL City itu. Jersi ini bakal dilancarkan secara rasmi pada 8 Februari ini.