Jersi No.10 Selangor Bertukar Tangan
MakanBola
Selangor FC

Jersi ikonik no.10 di Selangor dilihat sudah mempunyai pemilik baharu.

Sebelum ini, nombor penuh ikonik tersebut digunakan oleh Mukhairi Ajmal sejak musim 2023 lalu, namun tinjauan ketika sesi latihan pertama pasukan Selangor pada Rabu menyaksikan nombor 10 sudah digunakan oleh pemain lain.

Sebuah hantaran oleh Selangor di laman media sosial memaparkan kelibat tonggak import baharu pasukan Gergasi Merah di jentera tengah, Eduardo Sosa, menyarung jersi latihan bernombor 10 yang terpampang di bahagian dada.

Foto tersebut mendapat perhatian ramai apabila para peminat Selangor mula teruja untuk menyaksikan kelibat Eduardo Sosa bersama nombor 10 di atas padang tatkala Mukhairi Ajmal dikesan menggunakan nombor 29 pada jersi latihan beliau.

Jersi bernombor 10 di Selangor ini dianggap begitu ikonik dalam kalangan penyokong setia pasukan, oleh kerana nombor keramat itu pernah disarung beberapa legenda hebat antaranya Allahyarham Mokhtar Dahari dan Safee Sali.

Selain nombor 10 pasukan yang kini sudah pun bertukar tangan, sesi latihan sulung skuad Gergasi Merah ini turut mendapat tumpuan ramai apabila jersi latihan baharu hasil kerjasama dengan Adidas diperkenalkan buat kali yang pertama.

Selangor kembali bersama Adidas setelah 16 tahun dengan pelancaran Kit Home dan Away Adidas x Selangor FC untuk musim 2026/27 dijadualkan pada 20 Ogos depan, sekali gus membuka semula lembaran kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini.