Selangor Jalin Kerjasama Dengan Adidas
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC kembali menjalin kerjasama dengan pembuat pakaian sukan terkenal, Adidas buat kali pertama sejak 2010.

Kerjasama dua entiti itu diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab berkenaan.

Adidas hari ini mengumumkan kepulangannya sebagai Rakan Kit Rasmi Selangor FC bagi musim 2026/27, sekaligus menyatukan semula salah satu kerjasama paling ikonik dalam sejarah bola sepak Malaysia. 

“Penyatuan semula ini memperkukuhkan hubungan yang telah lama terjalin sepanjang sejarah Selangor FC. Kedua-dua jenama ini berkongsi semangat yang sama dalam bola sepak serta komited untuk menginspirasikan generasi masa hadapan.

“Melalui penyatuan ini, Adidas dan Red Giants sekali lagi berganding bahu demi meneruskan legasi yang berteraskan kebanggaan, prestasi, dan hala tuju yang jelas,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kerjasama ini akan direalisasikan menerusi pelancaran Kit Home dan Away Adidas x Selangor FC musim 2026/27 pada 20 Ogos ini.

Ini bukan kali pertama Adidas bekerjasama dengan Selangor. Mula menjalin kerjasama dari 1987 hingga 1988, kerjasama itu kemudiannya diteruskan pada 2002 dan dari 2005 hingga 2010.

Adidas menjadi pilihan Selangor menggantikan rakan kit sebelumnya, Joma. Joma bekerjasama dengan Selangor selama lapan tahun dan bertanggungjawab menghasilkan beberapa jersi ikonik pasukan itu.