Bekas pemain beregu nombor satu dunia, Koo Kien Kiat merasa dihargai apabila khidmatnya ditagih sebagai jurulatih jemputan England.
Kien Kiat menerima tawaran Badminton England (BE) sebagai jurulatih jemputan negara itu sepanjang bulan Mac ini.
Beliau akan bekerjasama dengan jurulatih beregu England, Nathan Robertson untuk beberapa kejohanan sepanjang Mac termasuk All England Open 2025.
Kien Kiat melihat ini sebagai peluang buat beliau berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam dunia badminton kepada pemain-pemain England.
Beliau turut mengakui merasa tersentuh dengan usaha dan keikhlasan BE mendapatkan khidmatnya meskipun hanya untuk tempoh sebulan.
“Saya tak nak buat perbandingan pasal duit. Tapi saya nak buat perbandingan tentang penghargaan. Kalau orang bayar saya RM50,000 untuk jadi orang suruhan, pada saya, saya rasa tak dihargai,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“Bagi RM50,000 pun saya tak nak. Tapi kalau orang bagi saya RM20,000 tapi orang hargai saya macam legenda, saya fikir penghargaan dan keikhlasan itu yang paling penting.
“Sejujurnya, saya rasa dihargai dan mengetahui keikhlasan mereka apabila menerima jemputan daripada England.”
Antara beregu England yang bakal berguru dengan Kien Kiat ialah beregu ke-13 dunia, Ben Lane dan Sean Vendy.