Jika Selangor Kalahkan BG Pathum, 3 Rekod Bakal Tercatat
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC berpotensi untuk melakar tiga rekod sekiranya menewaskan jaguh Thailand, BG Pathum United bagi aksi ACC Shopee Cup 2025-26.

Skuad kendalian Kim Pan-gon melayan kunjungan kelab Thailand itu bagi aksi kelima Kumpulan A di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu, 4 Februari 2026.

Kemenangan ke atas pasukan kendalian Masatada Ishii bukan sahaja bakal melakar rekod baharu, tetapi mengukuhkan reputasi Selangor selaku kuasa besar di Asia Tenggara.

Antara rekod yang bakal tercatat buat Gergasi Merah Kuning adalah rekod tanpa kalah peringkat kumpulan yang bakal dilebarkan kepada lima perlawanan berturut-turut.

Selangor FC ketika ini menduduki tangga teratas kumpulan hasil dua kemenangan dan dua seri selain terpisah satu mata dengan pasukan tangga kedua, BG Pathum (7 mata).

Bukan itu sahaja, kemenangan bakal membuka peluang buat The Red Giants untuk melangkah ke peringkat seterusnya, sekali gus mengubati kempen duka di AFC Champions League Two (ACL2) musim ini.

Pan-gon yang juga ketua jurulatih baharu Selangor berpotensi untuk mengekalkan rekod 100 peratus tanpa tewas sejak bersama pasukan terutamanya selepas menang lima dan seri satu daripada enam aksi terakhir. 

Kecemerlangan jentera serangan yang diketuai oleh Faisal Halim dan Chrigor Moraes yang juga pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super 2025-26 dengan 16 gol memberi kelebihan buat Selangor di laman sendiri.

Kehadiran tonggak import baharu seperti Jeon Seung Min dan Vitor Penambuco sudah pasti menyuntik moral pasukan menjelang pertemuan menentang BG Pathum, malam Rabu.