Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali mengimpikan aksi pertarungan ONE Championship kembali diadakan di Malaysia.
Johan cukup teruja jika dapat bersaing dalam aksi pertarungan hebat anjuran ONE Championship yang diadakan di seluruh dunia.
Pada masa sama, jaguh Muay Thai berusia 18 tahun itu berharap dapat mengetuai kepulangan aksi ONE Championship ke Kuala Lumpur, Malaysia. Ini kerana ini peluang terbaiknya beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya suka jika dapat berlawan di Qatar. Saya suka jika dapat berlawan di Jepun. Tapi matlamat terbesar saya ialah membawa ONE Championship kembali ke Kuala Lumpur,” katanya kepada ONE FC.
“Jadi harapnya ONE Championship dapat menganjurkan satu lagi acara di Axiata Arena sekali lagi dan saya menjadi tumpuan dalam kad pertarungan. Itu akan jadikan impian jadi kenyataan.”
Kali terakhir acara ONE Championship diadakan di Malaysia ialah tahun 2022. Tahun tersebut menyaksikan ONE 162: Zhang vs. Di Bella dan ONE Fight Night 3 diadakan di Axiata Arena pada 21 dan 22 Oktober 2022.
Johan yang mesra disapa Jojo kini sibuk membuat persiapan untuk aksi pertarungan menentang Johan Estupinan dalam ONE 170 yang diadakan pada 24 Januari ini.
Aksi ini bukan saja medan buat Johan memburu kedudukan ranking rasmi Muay Thai untuk kategori flyweight. Malah, ini juga peluang buat beliau mengembangkan lagi populariti sukan itu di Malaysia.
“Sasaran terbesar saya tahun depan ialah berada pada kedudukan lima terbaik dalam divisyen flyweight dan menyebarkan pengaruh saya sekitar Malaysia,” tambahnya.
“(Saya) nak tunjukkan kemahiran saya kepada orang ramai dan tunjukkan kepada semua orang bahawa atlet Muay Thai berhak bersama bintang-bintang sukan lain seperti bola sepak dan sukan-sukan besar lain.”
Johan kini sudah meraih enam kemenangan daripada tujuh pertarungan yang disertainya.