Jaguh Muaythai Malaysia, Johan Ghazali tidak berasa gentar bagi menghadapi Johan Estupinan meskipun lawan memiliki rekod tanpa kalah dalam 4 pertarungan.
Johan atau lebih mesra disapa Jojo sedang membina nama di pentas ONE Championship dan telah turun beraksi dalam 6 perlawanan dan mencatatkan lima kemenangan serta satu kekalahan.
Setelah 6 aksi di pentas ONE Championship, Jojo dijadualkan berdepan jaguh Colombia, Johan Estupinan yang sebelum ini cemerlang menewaskan Zakaria El Jamari dengan keputusan knockout.
Menariknya, lawan Jojo kali ini bukan sahaja memiliki nama yang hampir serupa malah, Estupinan turut membawa rekod bersih tanpa kalah kesemua dalam empat pertarungan ONE Championship.
Jojo dalam satu sesi temu bual bersama Astro Arena berkata, selama mengkaji mengenai lawannya itu, beliau melihat rekod yang dipegang oleh Estupinan cukup menarik menjelang aksi mereka.
”Saya dah kaji banyak tentang Johan Estupinan ini, dia punya rekod itu memang menarik (kerana) tidak pernah kalah lagi, banyak KO (knockout),” kata Jojo
Walau bagaimanapun, Jojo melihat rekod perlawanan lampau Estupinan hanyalah bertemu lawan-lawan yang belum cukup setanding daripada Jepun, Turki, Filipina dan juga Maghribi.
”Tapi kalau kita betul-betul lihat, pertarungan Estupinan sebelum ini, dia belum pernah berlawan dengan orang yang betul-betul kuat,” ujar Jojo lagi kepada Astro Arena.
Oleh itu, menurut Jojo secara peribadi, dengan rekod tanpa kalah yang dibawa oleh Estupinan pada hari perlawanan, itu tidak akan memberi sebarang kesan buat diri beliau.
”Sebelum ini dia lawan orang yang belum capai tahap yang tinggi, jadi bila orang cakap rekod dia kebal dan banyak KO, itu tidak member kesan sebenarnya (buat Jojo).”
Aksi pertarungan Johan ‘Jojo’ Ghazali vs Johan ‘Panda Kick’ Estupinan dalam kategori flyweight dijadualkan berlangsung di Impact Arena, Bangkok pada 24 Januari 2025.