Advertisement
Tinggalkan One Championship Untuk Byon Combat? Ini Jawapan Johan Ghazali
UltraSukan
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia di pentas One Championship, Johan Ghazali menjawab mengenai peluang untuk menyertai Byon Combat suatu hari nanti.

Semua sedia maklum, Johan Ghazali atau lebih mesra disapa Jojo telah mengikat kontrak lumayan berjumlah USD100,000 bersama One Championship pada bulan Disember 2023.

Tatkala topik Byon Combat yang berlangsung minggu lalu sedang hangat diperkatakan, Jojo turut sempat memberi pandangan mengenai aksi yang diadakan di Indonesia itu.

Menurut Jojo, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Byon Combat ini kerana melihat ini sebagai salah satu usaha untuk mengangkat sukan Muay Thai, Boxing dan Kickboxing.

”Saya suka apa yang mereka (Byon Combat lakukan, mereka angkat sukan Muay Thai, Boxing dan Kickboxing. Jadi, saya sokong 100% apa yang mereka buat,” kata Jojo dalam video yang dimuat naik di akaun Tiktok devrisx.

Walau bagaimanapun, Jojo berharap Byon Combat dapat menghimpunkan jaguh-jaguh yang setaraf pada edisi akan datang dan tidak menolak untuk turut serta suatu hari nanti.

”Tetapi lain kali, saya harap mereka akan bawa lawan-lawan yang sama tahap dan mungkin suatu hari nanti, Byon ke-40 saya akan sertai,” tambah Jojo.

Tumpuan Jojo ketika ini pastinya terarah kepada saingan One Championship dengan bintang Colombia, Johan Estupinan atau lebih dikenali sebagai Panda Kick bakal menjadi lawan beliau.

”Buat masa sekarang, saya fokus untuk One Championship. Pertarungan selepas ini, saya menentang Johan Estupinan daripada Colombia.”

”Petarung yang bagus dan tidak pernah kalah lagi tapi saya yakin dengan sokongan dan doa semua, in shaa Allah saya akan buat yang terbaik serta banggakan Malaysia.”

Jojo dijadualkan berentap bersama jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam kategori flyweight pada pertarungan ONE 170 di Impact Arena, Bangkok pada 24 Januari 2025.

Pertarungan ini bakal menjadi tumpuan apabila Jojo pastinya turun dengan misi melebarkan rekod kemenangan di pentas One Championship sambil Estupinan masih kebal tanpa kalah dalam 25 aksi.