Johor Jewels menuruti langkah cemerlang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dengan mempertahankan gelaran juara Netball Super League (NSL) untuk tahun kedua berturut-turut.
Kejayaan ini dicapai dengan menewaskan wakil Kuala Lumpur, KL Wildcats dalam perlawanan final NSL hari ini.
Pada awalnya, Jewels yang dibimbing bekas pengendali negara, Tracy Robinson ketinggalan semasa suku awal permainan.
Bagaimanapun, wakil Johor itu mula mempamerkan kebangkitan dalam suku kedua permainan dan mendahului pada kedudukan 26-21.
Kebangkitan Johor Jewels turut dibantu dengan kepantasan dua pemain mereka, Fariha Razak dan Adri Kannemeyer. Ini membolehkan Jewels makin selesa pada kedudukan 38-30.
Pada akhirnya, KL Wildcats terpaksa akur dengan kehebatan wakil Johor itu dengan keputusan 47-43.
Biarpun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, tiga pemain Wildcats memenangi anugerah individu terbaik.
J. Leisharaani dan Nalwanja Shaffie masing-masing mendapat anugerah Pemain Muda Terbaik dan Pertahanan Terbaik NSL.
Manakala Nassanga Shadiah pula menggondol gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) NSL untuk tahun 2023.