Pasukan Jordan dikhabarkan bakal berdepan kesukaran apabila kehilangan dua tonggak pasukan berdepan Korea Selatan di separuh akhir Piala Asia 2023.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengendali Jordan, Hussein Ammouta dalam satu sidang media pra perlawanan.
Namun begitu, satu kelegaan buat para penyokong Jordan selepas penyerang berbisa mereka, Mousa Al-Tamari kembali cergas daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.
“Ianya akan menjadi perlawanan yang sukar (menentang Korea Selatan). Kami kehilangan dua pemain utama.
“Berkenaan Al-Tamari, saya melindungi pemain itu dan menjalani sesi latihan asing. Dia akan bersedia esok. Dia adalah pemain penting. Usaha diperlukan bukan sahaja dari Al Tamari tetapi juga dari semua pemain lain,” jelas Ammouta seperti dilaporkan Sport Chosun.
Ammouta menganggap perlawanan di separuh akhir menentang Korea Selatan kali ini tidak boleh disamakan dengan aksi peringkat kumpulan. Ini kerana, Korea Selatan semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan.
“Korea telah bertambah baik dari segi mental. Mereka telah berubah dari segi teknikal dan taktikal. Ia berbeza dengan peringkat kumpulan. Mengawal permainan. Kami mempunyai masalah lain juga. Tetapi kami akan cuba mengatasinya.
“Korea melakukan kesilapan di peringkat kumpulan dan dalam perlawanan menentang Arab Saudi dan Australia. Kami akan fokus pada itu. Kami akan berjuang dan saya akan melakukan yang terbaik,” katanya lagi.
Pada aksi peringkat kumpulan, pertemuan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dengan jaringan sendiri Yazan Al-Arab menyelamatkan Korea Selatan daripada kekalahan memalukan.