Kapten Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jordi Amat mengakui pasukan itu telah melakukan yang terbaik semasa turun menentang Kawasaki Frontale.
Aksi kelima Kumpulan I itu menyaksikan Harimau Selatan tunduk 5-0 kepada tuan rumah semalam.
Keputusan itu menyaksikan JDT tersingkir dari peringkat kumpulan ACL. Ini sekaligus menjadikan perlawanan menentang BG Pathum United pada 12 Disember ini sebagai medan menebus maruah.
Amat mengakui walaupun kekalahan itu pahit untuk ditelan, ini akan membantu Harimau Selatan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Satu-satunya perkara yang ingin saya nyatakan ialah tahniah kepada Kawasaki Frontale. Mereka bermain dengan begitu bagus.
“Kita tidak bermain dengan cara permainan kami. Memang betul kami mencuba tetapi pada hari ini, itu tidak menjadi. Mereka bermain dengan sempurna dan menjaringkan gol pada masa yang tepat.
“Ini perlawanan yang sukar buat kami tapi kita banyak belajar daripada perlawanan ini,” katanya dalam temubual selepas perlawanan yang disiarkan di Astro Arena semalam.
Kini, fokus Amat ialah membantu JDT melakar kemenangan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super seterusnya pada 3 Disember ini.