Bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengakui belum pasti tentang statusnya bersama pasukan itu.
Semakan di Transfermarkt mendapati kontrak bek tengah berusia 33 tahun itu bersama Harimau Selatan bakal berakhir pada 31 Mei ini.
Situasi ini menyebabkan beberapa kelab Indonesia dilaporkan mahu mendapatkan khidmat Amat. Antara kelab yang dilaporkan berminat ialah Persib Bandung dan Bali United.
Apabila diminta mengulas isu tersebut, Amat menafikan semua khabar angin perpindahan membabitkan dirinya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan belum mengetahui statusnya bersama JDT. Ini kerana belum ada perbincangan antara Amat dan pengurusan Harimau Selatan berhubung lanjutan kontrak.
“Itu semua khabar angin yang (mengatakan) saya akan ke Liga 1 Indonesia. Sejujurnya, saya belum tahu lagi status saya bersama JDT kerana belum ada perbincangan untuk lanjutan kontrak,” katanya seperti yang dilaporkan Stadium Astro.
Amat turut memaklumkan beliau menghormati pengurusan JDT. Justeru, sebarang maklumat berkenaan status beliau bakal diketahui pada minggu hadapan.
“Saya menghormati pengurusan dan minggu depan (kita) akan mengetahui maklumat mengenai status kontrak dan kita tunggu saja,” tambahnya.
Sejak menyertai kelab itu sebagai ejen bebas pada Julai 2022, Amat telah merekodkan 66 penampilan, tiga gol dan satu bantuan gol.
Beliau telah menjulang trofi Piala Sumbangsih, Unifi Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA sepanjang tempoh tersebut. Amat turut membantu JDT mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).