Pertahanan kental Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengungkapkan bagaimana kisahnya sebagai bintang di Eropah bertukar kepada putera raja Indonesia.
Menerusi satu temubual bersama Talksport, bekas pertahanan di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Swansea City itu tidak menyangka dengan perjalanan hidupnya hari ini.
Beliau sebelum ini telah pun disahkan memiliki keturunan raja Indonesia daripada susur galur keluarganya.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Dewan Kerajaan Kesultanan Adat Nusantara Indonesia apabila mengurniakan tonggak pertahanan tengah itu dengan gelaran Pengeran yang kebiasaannya diberikan kepada keturunan di Raja Indonesia.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Dewan memaklumkan bahawa Jordi merupakan generasi ketiga keturunan raja MD Kansil yang juga pemerintah kerajaan Riau di Sulawesi Utara.
“Dengan ini menyampaikan dasar perhatian dan penghargaan terhadap Trah Keluarga Besar Raja & Sultan Nusatara Indonesia dalam hal ini perkumpulan Dewan Kerajaan Kesultanan Adat Nusantara menyambut dengan penghormatan kepada YM Pangeran Jordi Amat Maas, generasi ketiga dari Raja M D Kansil, kerajaan Riau, Sulawesi Utara,” kata kenyataan tersebut.
Beliau juga menceritakan pengalaman mengetahu perkara ini melalui penceritaan neneknya dahulu.
“Nenek saya memberitahu saya cerita semasa saya kecil bahawa saya adalah putera mahkota di wilayah Indonesia.”
“Saya sangat gembira dan bangga menjadi warga Indonesia dan begitu juga keluarga saya. Saya tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya sekarang,” jelasnya.
Pemain kelahiran Sepanyol ini sudah pun menghabiskan sebahagian besar kariernya di Eropah dan beraksi di beberapa liga di England, Sepanyol, Belgium dan lain-lain.
Jordi amat kini menjadi tunjang utama di bahagian pertahanan JDT apabila sudah pun beraksi 9 perlawanan setakat ini.