Aksi pemain warisan Malaysia, Josh Brownhill menyerlah ketika membantu Burnley mengikat Oxford United tanpa jaringan.
Pemain berusia 28 tahun itu turun dalam kesebelasan utama pasukan dan membentuk gandingan bersama Josh Cullen dan juga Hannibal pada bahagian tengah pasukan.
Burnley memiliki beberapa peluang keemasan pada babak pertama untuk menjaringkan gol namun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Oxford United, Jamie Cumming.
Tuan rumah beraksi tanpa kelibat pemain Indonesia, Marselino Ferdinan yang turut tiada dalam bangku simpanan.
Babak kedua berlangsung lebih mendatar dengan kedua-dua pasukan lebih banyak melakukan hantaran-hantaran pendek.
Setakat ini, Brownhill sudah beraksi dalam 8 perlawanan di Championship dan menjaringkan tiga gol bersama satu bantuan jaringan.
Burnley kini menghuni tangga ke-4 dengan 14 mata manakala Oxford United di tangga ke-11 dengan 10 mata selepas 7 perlawanan.
Pasukan kendalian Scott Parker akan melayan kunjungan Plymouth bagi aksi seterusnya pada 2 Oktober 2024 di Turf Moor.