Juan Torres Mula Bertugas Lebih Awal Di Sabah
MakanBola
Sabah FC

Pengendali baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido mula bertugas lebih awal bersama pasukan itu.

Ini selepas Sabah memuat naik video beliau memimpin sesi latihan pasukan itu pada 25 Februari lalu. Meskipun baru tiba, Garrido kelihatan kagum dengan reaksi para pemain.

Ini kerana pada hematnya, para pemain dilihat terbuka dengan idea yang cuba disampaikan oleh beliau.

“Para pemain menerima saya dengan baik dan mereka terbuka dengan apa yang saya cuba sampaikan kepada mereka,” katanya.

Bekas jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu turut mendedahkan telah membuat persiapan awal sebelum tiba di Sabah.

Meskipun mengenali beberapa pemain seperti Fergus Tierney, Dominic Tan dan Darren Lok, Garrido melihat cara terbaik mengenali pemain ialah berjumpa sendiri dengan mereka.

“Saya ada buat kerja rumah sebelum datang ke sini. Sudah tentu saya mengenali beberapa pemain tetapi cara terbaik ialah berjumpa, belajar tentang mereka, apa yang mereka perlukan dan kelebihan mereka.

“Jadi saya gembira selepas hari pertama latihan,” ujar bekas penolong jurulatih Harimau Malaya itu.

Garrido kini fokus mempersiapkan Sabah untuk aksi Liga Super seterusnya menentang Negeri Sembilan FC pada 28 Februari ini.