Juan Torres Sah Jurulatih Baharu Sabah
MakanBola
Sabah FC

Bekas jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido sah memikul tugas sebagai jurulatih baharu Sabah FC.

Pelantikan jurulatih Sepanyol berusia 46 tahun itu diumumkan pengurus pasukan Sang Badak, Mohd Arziz Afizy pada Rabu.

Pelantikan ini menyaksikan pemangku ketua jurulatih, Alto Linus kembali mengisi peranan sebagai penolong jurulatih.

“Juan Torres akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya.

Arziz memaklumkan pengalaman Garrido sebagai bekas jurulatih skuad muda negara antara faktor yang mendorong Sabah mendapatkan khidmatnya.

Sebelum menyertai Sabah, beliau memikul tugas sebagai pengarah pembangunan kelab Croatia, Hajduk Split sejak Ogos 2025.

Selain bergelar jurulatih Malaysia B-23, Garrido juga pernah menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Harimau Malaya pada 2024. Beliau memikul tugas sebagai pembantu Pau Marti Vicente.

Garrido juga pernah menjadi pembantu bekas jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee semasa beliau membimbing kelab Indonesia, Persis Solo.

Arziz percaya kehadiran bekas pengurus akademi Granada CF itu dapat membantu Sabah mencapai sasaran musim ini termasuk final MFL Challenge Cup 2025/26.

“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025-2026,” ujarnya.

Garrido merupakan pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Australia, Jean-Paul de Marigny. De Marigny meninggalkan pasukan itu selepas membantu Sabah mara ke final Piala FA 2025/26.