Pemain tengah England, Jude Bellingham dikenakan denda sebanyak lima angka oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) susulan tindakannya baru-baru ini.
Nama bintang muda Real Madrid itu menjadi tumpuan apabila beliau didakwa menunjukkan isyarat kurang sopan ke arah bangku simpanan Slovakia.
Insiden itu berlaku selepas Bellingham menjaringkan gol penyamaan The Three Lions semasa menentang Slovakia pada awal pagi 1 Julai lalu. England kemudiannya mara ke suku akhir apabila Harry Kane menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Bellingham kemudiannya memaklumkan isyarat itu sebenarnya satu jenaka yang ditujukan kepada beberapa rakan rapat yang datang menonton perlawanan hari itu.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu turut menyatakan rasa hormat kepada pasukan The Falcons. Ini kerana Slovakia memberi tentangan sengit kepada England sehingga masa tambahan.
BBC Sport melaporkan selepas insiden itu disiasat oleh UEFA, Bellingham dikenakan denda sebanyak €30,000 (RM152,000) dan penggantungan satu perlawanan atas kesalahan melanggar peraturan berkelakuan sopan.
Bekas pemain Birmingham City itu bernasib baik kerana penggantungan itu tidak dikuatkuasakan serta-merta dengan tempoh selama setahun. Penggantungan ini hanya berkuatkuasa apabila Bellingham dikesan mengulangi kesalahan sama.
Keputusan UEFA ini membolehkan Bellingham bebas beraksi untuk aksi suku akhir EURO 2024 England menentang Switzerland.
Ini sama sekali berbeza dengan bek tengah Turkiye, Merih Demiral. Tidak seperti Bellingham, Demiral digantung dua perlawanan oleh UEFA kerana menunjukkan isyarat serigala semasa aksi pusingan 16 terbaik pasukan itu dengan Austria.
Keputusan ini menyaksikan bek tengah Al-Ahli itu terpaksa melupakan aksi suku akhir menentang Belanda pada awal pagi 7 Julai dan aksi separuh akhir seandainya Turkiye berjaya mara.