Sasaran mengakhiri pusingan pertama Liga Super 2023 di kedudukan 10 teratas masih lagi relevan di sebalik deretan keputusan buruk, demikian pandangan jurulatih sementara TRW Kelantan, Rezal Zambery Yahya.
Beliau yang dilantik menggantikan Choi Moon Sik yang direhatkan pengurusan, memimpin Kelantan ketika kekalahan 0-5 kepada Terengganu dalam aksi pertama bimbingannya.
Ia adalah kekalahan kelima mereka musim ini setelah mengharungi tujuh perlawanan, menyaksikan Kelantan setakat ini mengutip hanya empat mata, dan menghuni tangga kesebelas.
Berita Berkaitan: Rezal Zambery Nafi Kem TRW Kelantan Dilanda Masalah
Lebih teruk, dalam empat perlawanan terakhir, sebanyak 16 gol dilepaskan sekaligus menjadikan Kelantan sebagai pasukan paling banyak serta paling mudah dibolosi musim ini.
Rezal Zambery bagaimanapun yakin sasaran ditetapkan pemilik Norizam Tukiman untuk berada di kelompok 10 teratas boleh direalisasikan mengambil kira jurang mata antara setiap pasukan yang tidak terlalu jauh.
“Kalau kita lihat kedudukan mata dalam carta liga tidaklah terlalu jauh, masih ada harapan (untuk 10 teratas). Tetapi apa yang penting adalah bagaimana pemain membaiki prestasi dan bangkit, serta bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan individu. Itu adalah apa yang selalu saya ingatkan,” ujarnya.
Berdasarkan kedudukan semasa, Kelantan ketinggalan satu mata di belakang Penang (ke-9) dan Perak (ke-10) yang mengumpul lima mata. Secara realistik, Kelantan hanya mempunyai potensi untuk memintas dua pasukan tersebut.
Tiga pasukan di bawah mereka pula adalah KL City dan Kuching City masing-masing mengumpul tiga mata dan Kelantan United di tangga tercorot, namun ketiga-tiga pasukan itu bermain kurang perlawanan berbanding Kelantan.
Ini bermakna kedudukan mereka mungkin akan jatuh lagi menjelang berakhirnya aksi Matchday 7.