Jurang ranking yang wujud antara jaguh perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong semakin melebar.
Hal ini dilihat menerusi kemas kini terbaru ranking yang disediakan oleh Persekutuan Badminton Sedunia (BWF). Berdasarkan kemas kini terbaru, Zii Jia masih berstatus pemain nombor tujuh dunia dengan 78,816 mata.
Sementara dua lagi wakil negara, Tze Yong dan Leong Jun Hao pula masing-masing berada pada kedudukan ke-21 dan ke-27 dunia. Sebelum itu, Tze Yong menduduki ranking ke-19 dunia.
Menerusi kemas kini terbaru berkenaan, beliau kini dipintas dua pemain lain iaitu Wang Tzu-wei (Chinese Taipei) dan Toma Popov (Perancis).
Keadaan ini berlaku disebabkan Tze Yong berehat lama akibat kecederaan belakang yang dialami pada awal tahun ini. Ini menyebabkan beliau terpaksa melupakan banyak kejohanan termasuk beraksi di Sukan Olimpik 2024.
Disebabkan kecederaan itu juga, Tze Yong terpaksa menjalani pembedahan bagi membantu proses pemulihannya.
Ramai peminat badminton negara berharap bekas finalis Arctic Open 2023 itu dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami dan kembali beraksi di gelanggang.