Jurang Ranking Malaysia & Vietnam Makin Dekat
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Malaysia semakin mendekati kedudukan Vietnam dalam kemas kini carta ranking FIFA.

Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski harungi musim 2025 lalu dengan penuh suka-duka apabila berhasil mencatatkan 7 kemenangan dan satu keputusan seri dalam 8 perlawanan.

Kes pemalsuan dokumen yang melibatkan 7 tonggak warisan negara membuatkan FIFA mengambil langkah drastik dengan membatalkan 3 keputusan perlawanan yang diharungi oleh Malaysia.

Dua kemenangan ke atas Palestin dan Singapura sementara keputusan seri menentang Cape Verde dibatalkan oleh FIFA serta Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 dalam kesemua 3 aksi tersebut.

Keputusan itu menyebabkan ranking Malaysia jatuh 5 anak tangga dan berada di kedudukan ke-121 dunia berbanding 116 pada kemas kini terakhir yang dicatatkan pada November lalu.

Kemas kini ranking FIFA pada 20 Januari lalu menyaksikan Malaysia masih kekal di kedudukan ke-121 dunia manakala Vietnam pula jatuh satu anak tangga di kedudukan ke-108 dunia.

Penurunan ranking Vietnam ini turut membuatkan kedudukan pasukan bimbingan Kim Sang-sik dan Harimau Malaya hanya terpisah dengan jurang 13 anak tangga berbanding sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Vietnam masih kekal sebagai negara ASEAN kedua terbaik, di belakang Thailand (96 dunia) dan Malaysia di kedudukan ke-3 disusuli Indonesia serta Filipina.

Perbezaan ranking antara dua negara ini sudah pasti menjadi tumpuan ketika mana Vietnam akan turun menanti kunjungan Malaysia dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada 26 Mac hadapan.