Penyokong Arsenal berdepan tamparan hebat apabila pemain baru mereka, Jurrien Timber terpaksa berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan ACL.
Pemain pertahanan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan serius berkenaan dalam aksi pembukaan EPL menentang Nottingham Forest di Stadium Emirates pada 12 Ogos lalu.
Timber yang sudah merekodkan dua penampilan bersama The Gunners sejak menyertai kelab itu dari Ajax Amsterdam perlu menjalani pembedahan bagi membantu pemulihannya.
Bagi pemain pertahanan Belanda itu, kecederaan tersebut merupakan satu ujian besar buat dirinya. Namun begitu, pada masa sama, Timber berharap pemulihannya berjalan lancar bagi membolehkannya beraksi di Stadium Emirates semula.
“(Saya) sangat sedih untuk berkongsikan kecederaan saya lebih serius daripada apa yang disangka terutama selepas mendapat sambutan mesra (daripada penyokong).
“Saya berharap dapat membalas jasa anda semua di atas padang di mana ia sukar dilakukan buat masa ini. Terima kasih kerana membuatkan saya seperti berada di rumah dan melihat anda di The Carpet (nama jolokan Stadium Emirates),” katanya di platform media sosial X.
Situasi ini dijangka merumitkan urusan perpindahan Arsenal di mana mereka ketika ini sedang menimbang penjualan dua bek kiri mereka, Kieran Tierney dan Nuno Tavares.
Dengan Oleksandr Zinchenko masih lagi belum pulih daripada kecederaan, The Gunners terpaksa menimbang kemungkinan membatalkan jualan salah seorang pemain. Ini bagi memastikan posisi bek kiri mereka ada pemain sokongan sekiranya masalah kecederaan kembali tercetus.