Jurulatih Buriram United, Mark Jackson mendedahkan perubahan taktik dari tiga pemain pertahanan kepada empat pemain pertahanan membantu pasukan itu menewaskan Selangor FC dalam aksi final kedua Shopee Cup.
Jackson mengakui selepas ketinggalan 1-0 menerusi gol Syahir Bashah, Buriram terpaksa mengubah sistem untuk bangkit di Stadium Buriram. Hal ini memaksa beliau memasukkan Supachai Chaided menggantikan Pansa Hemviboon pada minit ke-29.
Bekas jurulatih Leeds United itu melihat perubahan taktik tersebut membantu Buriram mendominasi perlawanan. Ini sekaligus membantu kelab gergasi Thailand itu mempertahankan trofi Shopee Cup sejak edisi 2024/25.
“Kami memulakan permainan dengan pertahanan tiga orang sebelum beralih kepada pertahanan empat orang untuk mewujudkan lebih banyak tekanan untuk memenangi bola dan menjadikan kami lebih berbahaya dalam serangan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Jackson mengakui bukan mudah buat beliau membuat keputusan mengeluarkan Pansa pada awal permainan. Ini kerana beliau mengambil kira kelebihan fizikal dan pengalaman yang dimiliki bek tengah berusia 35 tahun itu.
Walau bagaimanapun, Jackson melihat pertukaran itu sebagai solusi terbaik untuk membantu Buriram kembali bersaing dengan Selangor di atas padang.
“Kadangkala sebagai ketua jurulatih, saya mungkin membuat keputusan yang salah. Seperti hari ini di mana terdapat kesilapan dalam sistem permainan pada peringkat awal permainan.
“Saya terpaksa membetulkan kesilapan tersebut dengan segera. (Keputusan) menggantikan Pansa Hemviboon merupakan keputusan taktikal semata-mata di mana ia sesuatu yang malang.”
Buriram bangkit dengan menyumbat dua gol menerusi Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan. Keputusan itu memastikan Buriram meraih kemenangan dengan keputusan agregat 3-1.
Jackson berpeluang menutup kempen Buriram dengan tiga trofi kejuaraan. Ini kerana Buriram akan berentap dengan PT Prachuap di pentas final Thai FA Cup pada 31 Mei ini.