Pengendali Buriram United, Mark Jackson mengakui sudah menjangkakan taktik permainan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Cup.
Jackson berkata demikian dalam sidang media pascaperlawanan kejohanan itu di Stadium Buriram.
Bekas jurulatih Central Coast Mariners (CCM) itu mengakui JDT berusaha menembusi benteng pertahanan Buriram sepanjang perlawanan.
Ini kerana JDT amat memerlukan gol untuk mengatasi kelebihan agregat 3-1 yang dimiliki tuan rumah dalam aksi separuh akhir pertama pada 6 Mei lalu.
Meskipun dibolosi dua gol, Jackson tetap berpuas hati dengan kerja keras yang ditampilkan anak buahnya untuk menempah tiket final Shopee Cup.
“Johor Darul Ta’zim adalah pasukan yang bagus, menjadikan perlawanan hari ini sangat baik. Tetapi kami telah bersedia dengan baik dan menjangkakan bagaimana lawan kami akan bermain.
“Walaupun pada separuh masa pertama kami mungkin mahukan lebih banyak penguasaan bola, selain daripada gol yang kami bolos, pertahanan kami beraksi dengan sangat baik,” katanya.
Bekas jurulatih Leeds United itu turut gembira dengan mentaliti dan keadaan fizikal para pemain. Ini kerana barisan pemain Buriram menunjukkan semangat luar biasa untuk memastikan tiket final menjadi milik mereka.
“Selepas perlawanan, penghargaan harus diberikan kepada keadaan fizikal dan stamina pemain. Semasa perlawanan berlangsung, kami menjadi lebih kuat.
“Saya berpuas hati dengan keadaan fizikal pemain, serta keadaan mental mereka. Saya percaya bahawa setiap pemain boleh jatuh, tetapi mereka tidak pernah berputus asa,” tambahnya.
Buriram akan berdepan satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC di final. Selangor mara dengan menyingkirkan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) dengan keputusan agregat 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Aksi final Shopee Cup bakal berlangsung pada 20 dan 27 Mei ini.