Jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Do-heon menyifatkan trio import Selangor FC iaitu Ali Olwan, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes sebagai ancaman utama buat pasukannya.
Selepas dua perlawanan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Jeonbuk menerajui kumpulan dengan enam mata dan menjaringkan 10 gol.
Kini, Selangor dan Jeonbuk berentap untuk memburu kelebihan selaku pendahulu Kumpulan H. Meskipun Merah Kuning hanya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan kumpulan, Do-heon enggan memandang rendah cabaran anak buah Nidzam Jamil itu.
Ini kerana Selangor memiliki pemain-pemain import berkualiti termasuk Ali, Fernandez dan Fortes di bahagian serangan.
Do-heon percaya ketiga-tiga pemain ini mampu memberi ancaman kepada barisan pertahanan Jeonbuk. Atas sebab itu, beliau mahu barisan anak buahnya menunjukkan prestasi terbaik bila kedua-dua pasukan bertemu nanti.
“Kita tahu Selangor memiliki pemain-pemain import berkualiti. Pemain antarbangsa Jordan (Ali Olwan) di bahagian (sayap) kiri, seorang lagi dari Venezuela (Ronnie Fernandez) dan pemain yang beraksi di sebelah kanan (Alvin Fortes) pernah beraksi untuk Feyenoord di Belanda.
“Mereka memiliki kualiti dan perwatakan tersendiri. Mereka mampu memberi tekanan terutama di bahagian hadapan dan sayap serta dari bahagian belakang.
“Saya tahu Selangor kerap bersaing dengan Johor (Darul Ta’zim) dalam Liga Malaysia (Liga M). Saya tahu mereka memiliki kualiti,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Jeonbuk berharap dapat kembali meraih kemenangan selepas tewas mengejut 2-0 kepada Daejeon Hana Citizen baru-baru ini.
Merah Kuning bakal berentap dengan Jeonbuk di Stadium MBPJ pada 23 Oktober ini. Selangor terpaksa menghadapi cabaran Jeonbuk tanpa kelibat tonggak tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang berehat panjang akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).