Kelibat 4 pemain Selangor menjadi ‘sasaran’ jurulatih Nam Dinh, Vu Hong Viet untuk diawasi menjelang perlawanan separuh akhir ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup esok.
Pertembungan separuh akhir Shopee Cup antara Selangor vs Nam Dinh bakal menjanjikan persaingan sengit ketika kedua-dua kelab kini dalam momentum terbaik untuk memburu slot ke final.
Selangor hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan di bawah bimbingan Kim Pan-gon ketika ini sekali gus memberi suatu bayangan awal pertembungan epik akan berlaku menentang jaguh Vietnam ini.
Menurut Vu Hong Viet, corak dan gaya permainan Selangor telah pun dikaji melibatkan beberapa aksi liga domestik dan Shopee Cup terutamanya ketika The Red Giants mengatasi CAHN 2-0.
“Ya, saya telah menonton dan mengkaji perlawanan mereka, termasuk beberapa aksi peringkat kumpulan Shopee Cup, khususnya perlawanan menentang CAHN, satu lagi kelab dari Vietnam, dam beberapa perlawanan Liga Super Malaysia.
“Saya fikir mereka (Selangor) adalah sebuah pasukan yang memiliki gaya permainan kuat, intensiti tinggi, fizikal yang mantap, dan pastinya akan menjadi lawan yang sukar untuk dihadapi.”
Tambah beliau, Selangor memiliki beberapa pemain berkualiti antaranya Faisal Halim, Chrigor Moraes yang muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super selain dua tonggak di jentera tengah.
“Dalam skuad mereka, saya melihat beberapa pemain yang memiliki kualiti hebat,” ujar beliau ketika sesi sidang media praperlawanan.
“Contohnya pemain bernombor 7 di posisi sayap kiri, pemain bernombor 91 selaku penjaring terbanyak selain dua pemain tengah yang turut memiliki kemampuan teknikal yang tinggi.”
Aksi Selangor vs Nam Dinh bakal berlangsung pada Rabu, 6 Mei 2026 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.