Jaringan sepakan penalti pemain Selangor, Chrigor Moraes didakwa menjadi sebab pelan Nam Dinh lebur semasa aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup pada Rabu.
Nam Dinh terpaksa akur tersingkir dari saingan ACC Shopee Cup selepas tewas dengan keputusan agregat 4-1 di tangan wakil dari Malaysia, Selangor di peringkat separuh akhir pada Rabu.
Dua gol oleh Chrigor Moraes menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 dan penyudah berbisa di lewat aksi memberikan kemenangan 2-0 kepada Selangor dalam aksi separuh akhir kedua.
Sebaik tamat perlawanan, jurulatih Nam Dinh, Vu Hong Viet menganggap jaringan pertama Selangor menerusi sepakan penalti itu telah merosakkan perancangan kelab Vietnam itu untuk bangkit.
”Saya rasa penalti itu telah merosakkan pelan permainan yang kami sediakan dan pada separuh masa kedua kami bermain jauh lebih baik,” luah Vu Hong Viet ketika sidang media pasca perlawanan.
Selain itu, beliau melihat sikap alpa ketika rancak menyerang telah membuka ruang kepada Selangor mencetak gol kedua ditambah pula dengan kegagalan menyempurnakan deretan peluang.
“Kesungguhan kami bagi menyamakan kedudukan membawa kepada jaringan kedua (Selangor), kerana kami terlalu fokus untuk menyerang.”
“Kami turut memiliki beberapa peluang, namun penyerang kami gagal memanfaatkannya. Ini juga merupakan isu yang perlu kami perbaiki.”
Selangor bakal bertemu juara bertahan Buriram United pada aksi final ACC Shopee Cup pada 20 dan 27 Mei akan datang dengan perlawanan pertama berlangsung di Stadium MBPJ terlebih dahulu.