Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tajikistan, Petar Šegrt sudah pun mengetahui tentang masa depan penjaga gol negara, Syihan Hazmi lebih awal dari yang disangkakan.
Pengendali kelahiran Croatia itu pernah membawa pasukannya menewaskan Harimau Malaya dalam aksi final King’s Cup di Thailand, tahun lalu.
Beliau yang ditemui oleh MakanBola ketika itu mengakui bahawa Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar untuk terus maju pada masa hadapan.
Bekas jurulatih PSM Makassar ini secara terbuka menyatakan keterujaan terhadap persembahan yang dipamerkan oleh penjaga gol negara ketika itu iaitu Syihan Hazmi.
Pemain berusia 27 tahun itu beraksi dengan cukup cemerlang untuk menggagalkan setiap usaha yang dimiliki pasukannya dalam perlawanan tersebut.
“Ya saya sukakan penjaga gol kamu.”
“Beliau (Syihan) memiliki kualiti yang sangat baik seperti beberapa pemain Malaysia yang lain,” jelasnya kepada MakanBola.
Malaysia sekali lagi bakal berdepan pasukan ke-110 dunia itu yang difahamkan tampil dengan ramai muka baharu pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Antara watak penting yang tidak dibawa oleh Tajikistan ialah penjaga gol tinggi lampai, Rustam Yatimov yang merupakan wira ketika menyelamatkan tiga sepakan penalti Malaysia tahun lalu.
Skuad kebangsaan berada dalam momentum terbaik apabila menewskan India dengan keputusan 4-2 pada 13 Oktober 2023 dan meraih tambahan +6.04 mata FIFA.