Kad Merah Ehson Panjshanbe Rugikan Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abd Aziz menyifatkan kad merah yang diterima pemain tengah Terengganu FC, Ehson Panjshanbe selepas perlawanan sebagai merugikan,

Pandangan itu dibuat Azmin apabila diminta mengulas insiden kad merah yang diterima pemain tengah Tajikistan itu selepas perlawanan menentang Kuching City FC.

Ehson dilihat membuat protes terhadap pengadil, Izzul Fikri Kamaruzaman selepas perlawanan berakhir. Hal ini menyebabkan Izzul Fikri tidak teragak-agak melayangkan kad merah terhadapnya.

Susulan itu, beberapa pemain Kuching City berusaha menenangkan Ehson bagi mengelakkan insiden itu daripada terus berlarutan. Antaranya Haziq Nadzli, Ramadhan Saifullah Usman dan bekas jeneral tengah Peteh, Petrus Shitembi.

Azmin Azram menyifatkan kad merah yang diterima Ehson merugikan Terengganu. Ini kerana disebabkan insiden tersebut, Peteh terpaksa menghadapi baki aksi Liga Super tanpa khidmat jeneral tengah Tajikistan itu.

‘Ini adalah sesuatu yang merugikan (Terengganu) sebenarnya,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

“Perlawanan sudah berakhir tetapi kuasa masih di tangan pengadil untuk melayangkan kad apabila pemain cuba melakukan sesuatu.”

Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha turut senada dengan Azmin Azram. Beliau berpandangan pemain seharusnya belajar mengawal perasaan terutama selepas perlawanan.

Norshahrul yang mesra disapa Matyo juga percaya insiden itu patut menjadi iktibar buat semua pemain Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

“Pemain seharusnya tidak melakukan apa yang (Ehson) Panjshanbe lakukan kerana perlawanan pun sudah habis.

“Saya rasa pemain harus belajar (dan mengambil iktibar) yang diambil (Ehson) Panjshanbe,” ujarnya.

Terengganu terlepas peluang meraih tiga mata penuh apabila tewas 2-1 kepada Kuching City di Kuching, Sarawak.

Selepas mendahului menerusi Shervoni Mabatshoev, tuan rumah bangkit meraih kemenangan menerusi penalti Ronald Ngah Wanja dan gol pemain gantian, Jerome Mpacko Etame.